Sunday, July 3, 2011

Wirid Dan Warid

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على أشرف المرسلين. أما بعد 

Sesungguhnya Wirid  bisa Mendatangkan Kepada Kamu Warid. Supaya Kamu Mendekat Dan Masuk Ke dalam pusaran Allah Swt. 

Wirid Mendatangkan Kepada Kamu Warid Supaya Kamu Terselamat Dari Kekuasaan Debu-Debu Dunia Dan Supaya Kamu Merdeka Dari Perbudakan Mata Benda Dan Syahwat Keduniaan. 

Wirid Mendatangkan Kepada Kamu Warid Supaya Kamu Bebas Dari Penjara Wujud Kamu Dan Masuk Kepada Syuhud (Penyaksian). [Kalimatul Hikmah]

Tidak mungkin bayi suci yang lahir dalam hati dapat dipelihara dan dilindungi dengan kekuatan dan kepandaian seseorang manusia itu. Manusia berhajat kepada Allah swt untuk memelihara dan melindunginya. Hanya kurniaan Allah swt yang mendatangi hati seseorang hamba itu yang mampu menjadi tentera menjaga khazanah kebaikan yang ada dalam hati. Kurniaan Allah swt itu hanya menetap jika suasana hati sesuai untuknya.


Allah swt berkuasa mencabut semula apa juga kurniaan-Nya kepada hamba-Nya. Kesalihan telah dicabut daripada Azazil sehingga dia menjadi iblis. Kesalihan juga telah dicabut daripada Bal’am bin Ba’ura sehingga dia hidup di hutan seperti haiwan. Sesiapa yang menyangka kebaikan dan kelebihan yang ada padanya sebagai hak mutlaknya, lupa dia kepada kurniaan Allah s.w.t dan kekuasaan-Nya, sesungguhnya orang itu menanti masa untuk menerima kemurkaan Allah swt. 


Sekiranya Allah swt mengasihani seseorang hamba itu Dia akan meletakkan sesuatu kelemahan pada hamba tersebut. Kelemahan itu sentiasa membayanginya untuk memperingatkannya tentang tarafnya sebagai hamba Tuhan yang sentiasa berhajat kepada-Nya. 


Nabi Muhammad saw dihadapkan dengan kelemahan dalam membuat bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib, mengucapkan dua kalimah syahadah. Nabi Nuh a.s dihadapkan dengan kelemahan dalam memujuk isteri dan anak supaya ikut menaiki kapalnya. 


Orang kaya dihadapkan dengan penyakit yang hartanya tidak mampu mengubatinya. Orang yang diberi kebolehan dihadapkan dengan kelemahan mendapatkan sesuatu yang sangat diingininya. Setiap orang berdiri dengan kelemahan yang tidak mungkin dia mengatasinya, kecuali dengan izin Allah swt. 


Hal yang demikian menjadi rahmat yang memelihara kehambaan pada seseorang hamba itu.
 
Hikmah-hikmah di atas menceritakan tentang persiapan hati untuk menerima kedatangan kurniaan Allah s.w.t. Persiapan hati itu dinamakan wirid dan kurniaan Allah swt dinamakan warid.
 
Aurad atau wirid adalah amal ibadat yang dilakukan secara berterusan menurut satu pola yang tertentu. 


Orang yang mengamalkan wirid akan melakukan jenis ibadat yang serupa pada tiap-tiap hari. Jika satu-satu amalannya tidak dapat dilakukannya pada masa yang biasa dia melakukannya kerana sesuatu halangan yang tidak dapat dielakkannya, maka dia akan melakukan amalan yang tertinggal itu pada masa lain. 


Apabila seseorang sudah beramal secara demikian dengan teguh, maka dia dikatakan beramal secara aurad atau wirid. Amal ibadat yang dilakukan dengan banyak hanya  pada hari-hari tertentu dan tidak dilakukan dengan banyak pada hari-hari lain tidak dinamakan wirid.
 
Wirid yang terbaik adalah yang menggabungkan sembahyang, puasa dan zikir, seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w semasa hidup baginda s.a.w. Wirid yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w diikuti oleh para sahabat. 


Dari para sahabat amalan ini berkembang kepada generasi-generasi kemudian hinggalah ke hari ini. Guru-guru yang arif kemudiannya menyusun wirid-wirid yang boleh diamalkan oleh murid-murid mereka mengikut darjat rohani mereka. 


Murid yang tekun mengamalkan wirid yang ditalkinkan oleh gurunya berkemungkinan didatangi oleh warid.
 
Warid adalah pengalaman rohani yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hati murid yang mengekali wirid. Selain dinamakan warid, ia juga dipanggil dengan nama-nama lain seperti hal, pengalaman hakikat, waridah, Nur Ilahi, Sir dan lain-lain, menurut istilah tasauf . 


Banyaknya istilah yang digunakan adalah kerana sukarnya mahu menceritakan tentang apa yang sebenar berlaku pada hati seseorang yang menerima kurniaan Allah s.w.t. Nur atau warid yang datang kepada hati seorang murid tidak sama dengan yang lain. 


Masa kedatangannya juga tidak serupa, walaupun murid-murid tersebut mengamalkan wirid yang serupa. Ada murid yang cepat mendapat warid dan ada yang lambat bahkan ada juga yang tidak pernah memperolehinya. Tempoh warid menetap di dalam hati juga tidak serupa. Ada yang memperolehi warid hanya sekadar beberapa minit sahaja, kemudian ia menghilang. 


Ada yang bertahan selama satu minggu, sebulan, setahun dan sebagainya. Keadaan tidak menentu itu terjadi kerana murid belum mencapai keteguhan atau istiqamah. Warid yang menetap hingga menjadi sifat murid itu dinamakan wisal dan dia akan hidup berterusan dengan wisal yang menyerap pada dirinya, hingga ke akhir hayatnya.
 
 Seorang murid atau salik perlulah bersungguh-sungguh mengamalkan wirid atau aurad bagi menyucikan hati agar hati itu berada dalam keadaan yang sesuai dan layak menerima kedatangan warid atau Nur Ilahi. Wirid adalah amalan untuk mempersiapkan diri, bukan wirid itu yang mengangkat seseorang ke Hadrat Allah swt, bukan wirid yang mendatangkan warid. 


Warid adalah semata-mata kurniaan Allah swt, tetapi hanya hati yang sesuai sahaja yang boleh menanggung kedatangannya, seperti juga wahyu yang merupakan kurniaan Allah s.w.t namun, hanya hati nabi-nabi yang boleh menerima kedatangannya. 

Apabila seseorang itu menerima kedatangan warid itu tandanya Allah s.w.t berkenan membawanya hampir dengan-Nya. Warid yang diterima oleh hati itu menarik hati kepada Allah s.w.t dengan mengeluarkannya dari penjara dunia dan syaitan. Kekuatan dunia, hawa nafsu, syaitan dan mata benda tidak dapat menyekat hati yang berjalan dengan warid kerana warid itu adalah tarikan langsung dari Allah s.w.t, bahkan orang yang menerima warid itu sendiri tidak  dapat menghalang berlakunya kesan warid ke atas dirinya. Tarikan langsung dari Allah s.w.t mengelurkan hati nurani dari penjara wujud dan masuk ke dalam tauhid yang hakiki, menyaksikan (syuhud) dengan mata hatinya akan keesaan Allah s.w.t.
 
Orang yang hatinya didatangi warid akan mengalami perubahan yang luar biasa. Jiwanya akan berasa tenang dan fikirannya tidak lagi kusut-masai. Dia dapat merasakan kelazatan beribadat dan berzikir. Warid yang masuk ke dalam hati menghancurkan sifat-sifat yang keji dan melahirkan sifat-sifat yang terpuji.
 
Warid yang diterima oleh hati melahirkan beberapa jenis perasaan. Hati mungkin berasa gembira dan mungkin juga  berasa sayu bila menerima kedatangan warid. 


Warid dalam suasana gembira adalah tajalli Allah s.w.t kepada hamba-Nya dengan sifat Jamal (keindahan). 


Warid yang melahirkan rasa sedih dan kecut hati adalah tajalli Allah s.w.t dengan sifat Jalal (kebesaran). Orang yang mengalami suasana sifat keindahan Allah s.w.t akan merasai kedamaian, ketenangan, keseronokan, kelazatan dan sangat membahagiakan. 


Pengalaman rohani tersebut membuatnya mengenali Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Lemah-lembut, Maha Pengampun dan sifat-sifat lain yang menyenangkan. 


Apabila hati rohani mengalami sifat-sifat keagungan dan keperkasaan Allah s.w.t maka akan terasa kecut hatinya, menggeletar tubuhnya dan mungkin dia jatuh pengsan. 


Pengalaman begini membuatnya mengenali Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Perkasa, Maha Keras, Maha Tegas, Maha Hebat seksaan-Nya dan tidak ada sesuatu yang terlepas dari genggaman-Nya.
 
Pengalaman warid adalah umpama Mikraj (tangga) untuk mencapai Allah s.w.t. Warid peringkat pertama menggerakkan hati supaya rajin beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah swt. 


Warid peringkat kedua memutuskan si hamba dari pergantungan kepada makhluk dan membulatkan semangatnya untuk berpegang kepada Allah s.w.t semata-mata. 


Warid peringkat ke tiga melepaskan si hamba dari sifat-sifat kemanusiaan dan seterusnya bebas dari kewujudan yang terbatas lalu masuk kepada Wujud Mutlak yang tiada batas. 


Kesedarannya tidak ada lagi pada dirinya dan alam maujud seluruhnya, yang ada hanya Allah s.w.t Yang Maha Esa lagi Maha Berdiri Dengan Sendiri.


Wallahu a`lam. 

 

No comments: